Mengapa Sukar Belajar Bahasa Kedua?

 



Bahasa kedua ini ialah apabila seseorang telah fasih dan cekap menggunakan sesuatu bahasa, kemudian belajar bahasa yang lain. Sebagai contohnya, jika Ahmad adalah seorang penutur jati bahasa Melayu dan fasih berbahasa Melayu maka, Bahasa Melayu itu ialah bahasa pertama bagi Ahmad. Manakala, jika dia belajar berbahasa Inggeris, bahasa Inggeris tersebut dikatakan ialah bahasa kedua. Hal ini kerana, Ahmad tidak  fasih menggunakan Bahasa Inggeris dan dia memerlukan proses pembelajaran untuk memahami bahasa tersebut. Bahasa kedua ini perlu mengalami proses pembelajaran jika hendak dibandingkan dengan bahasa pertama yang tidak memerlukan proses pembelajaran. Sesetengah orang berpendapat bahawa mempelajari bahasa kedua adalah sukar. Terdapat beberapa masalah yang boleh menyebabkan seseorang itu sukar untuk memperoleh bahasa kedua mereka seperti masalah persekitaran, masalah usia, kekangan dari segi pengaruh bahasa pertama dan sebagainya.

Oleh itu, didalam topik kali ini akan memperincikan mengapa pembelajaran atau pemerolehan bahasa kedua itu dianggap sukar. Kekangan bagi memperoleh bahasa kedua yang pertama ialah kanak-kanak tidak didedahkan kepada bahasa kedua sewaktu mereka diperingkat kanak-kanak lagi. Menurut teori masa kritikal, usia yang paling sesuai untuk memeperoleh bahasa kedua ini ialah dalam lingkugan kanak-kanak lagi. Hal ini dikatakan demikian kerana, perkembangan otak kanak-kanak tersebut masih belum berkembang sepenuhnya. Teori masa kritikal juga pernah menyatakan bahawa, semakin sukar seseorang itu memeproleh bahasa kedua jika dia telah melepasi usia baligh. Sebagai contoh yang dberikan di atas, Ahmad ialah seorang penutur jati bahasa Melayu. Oleh hal yang demikian, bahasa Inggeris adalah bahasa keduanya. Walaupun Ahmad sudah bertahun-tahun mempelajari bahasa Inggeris itu, dia tetap juga masih sukar untuk menguasainya dengan baik berbanding dengan orang yang bahasa pertamanya ialah bahasa Inggeris. Oleh hal yang demikian, jelaslah bahawa usia sangat memainkan peranan dalam menjadi kekangan dalam seseorang itu memeproleh bahasa keduanya. Semakin meningkat usia, semakin sukar untuk memperoleh bahasa kedua.




Seterusnya, bukan itu sahaja yang menjadi penghalang kepada seseorang itu untuk memperoleh bahasa kedua mereka. Namun, jika seseorang itu tidak mengamalkan bahasa itu sepanjang hayatnya, ia tentu akan menjadi lebih sukar. Oleh hal yang demikian, mereka hendaklah sentiasa berusaha dan tidak mudah berputus asa dalam mendapatkan bahasa kedua mereka. Tidak kiralah bahasa kedua itu ialah bahasa Inggeris, bahasa Jepun, bahasa Korea dan sebagainya. Antara usaha yang mereka boleh lakukan ialah dengan memperbanyakkan latihan secara berterusan. Walaupun ianya sukar, tetapi dengan latihan yang banyak akan dapat mengatasi masalah ini. Sebaliknya, ia amat mudah untuk kanak-kanak menguasai sistem bahasa pada usia mereka lima tahun. Kenyataan ini juga dipersetujui oleh Steinberg (1995). Sdalam kajian Steinberg juga ada menujukkan bahawa, kanak-kanak berusia dalam lingkungan empat hingga lima tahun sangat mudah dalam mengembangkan sistem bahasa dari satu kata kepada pelbagai kata walaupun dalam jangka masa yang singkat. Jika seseorang itu mempunyai pengetahuan asas, maka mudah untuk dia menguasai  bahasa tersebut. Oleh itu, pengetahuan asas amatlah penting. Namun, latihan yang banyak dan berterusan amat membantu seseorang itu untuk menguasai bahasa kedua mereka.



Masalah yang seterusnya ini ialah masalah dalam pengaruh bahasa pertama. Hal ini berlaku kerana penutur tersebut tidak menguasai hokum-hukum yang terdapat dalam pemerolehan bahasa pertama dengan baik. Pengaruh bahasa pertama amat ketara dapat dilihat dalam kalangan pelajar bukan Melayu. Mereka ini sering kali membina ayat bahasa Melayu berdasarkan sintaksis bahasa Tamil, bahasa Cina dan lain-lain lagi. Sebagai cotohnya, mereka akan membina ayat seperti “saya nasi makan”. Walhal, apa yang cuba disampaikan oleh mereka ini ialah “saya makan nasi”. Keturunan Cina yang paling banyak menghadapi masalah pengaruh daripada bahasa pertama mereka. Hal ini dikatakan demikian kerana, struktur bahasa Melayu dengan bahasa Cina adalah berbeza. Pernyataan ini adalah pendapat dari Abdul Aziz Abdul Talinb (2000).

Selain itu juga, pengaruh terhadap dialek merupakan antara masalah dalam memperoleh bahasa kedua dengan baik. Dialek merupakan variasi bahasa daripada satu bahasa tertentu yang dituturkan oleh sekumpulan penutur dalam satu-satu masyarakat. Gangguan dialek meliputi sintaksis, morfologi dan leksikal, hal ini kerana, penggunaan dialek telah didedahkan sejak kecil lagi. Apabila sampai masa mereka untuk ke sekolah, mereka akan diajar tentang bahasa yang lebih standard. Oleh itu, kanak-kanak ini akan mengalami konflik dalam diri mereka.

Akhir sekali, ialah kekangan dari aspek persekitaran. Gangguan persekitaran juga sedikit sebanyak akan menganggu pemerolehan bahasa kedua. Masalah ini timbul apabila bahasa pertama menerima sesuatu istilah daripada bahasa kedua tanpa sebarang pertukaran. Penggunaan bahasa dalam media massa, media cetak mahupunmedia elektronik dikatakan amatlahmempengaruhi pemerolehan bahasa seseorang. Hal ini dikatakan demikian kerana, masih terdapat kesalahan ejaan, kesalah susunan ayat, dan lain-lain lagi yang dilakukan oleh pihak media dalam menyampaikan sesuatu maklumat. Keadaan yang berlaku ini akan mengelirukan lagi penutur bahasa kedua yang masih belum mantap bahasa keduanya. Sebagai contohnya, didalam sebuah berita di televisyen ingin menyatakan bahawa ibu kota Jakarta dikepung. Tetapi oleh kerana kesalahan dalam susunan ayat seperti ibu kota dikepung Jakarta, akan menyebabkan kekeliruan dan sukar untuk difahami oleh penutur mahupun orang yang mendengarnya. Oleh hal yang demikian, masalah yang berpunca dari persekitaran ini juga amat memberi kesan kepada seseorang penutur yang menjadikan bahasa tersebut sebagai bahasa kedua mereka.


RUJUKAN

    Norul Haida bt Hj. Reduzan. Ilmu Psikolinguistik (2013) Perak: Emeritus Publications.

      Noor Aina Dani (2017). Asas Psikolinguistik. Kuala Lumpur: Dewan Bahasa dan Pustaka.

       Prof Emeritus Abdullah Hassan. (28 Februari 2009). Belajar Bahasa Kedua. https://www.scribd.com/document/362158039/Pemerolehan-Bahasa-Kedua


 



Comments